Monday 29 October 2012

Sejarah dan Latar Belakang Sekolah Kebangsaan Kulai 1

Sejarah Sekolah Kebangsaan Kulai 1 pada tahun 1953. Pada masa tersebut, sekolah ini dikenali dengan nama English Primary School Kulai (Private) atau Sekolah Rendah Inggeris Kulai. Sekolah ini merupakan sekolah rendah Inggeris pertama di Bandar Kulai. Murid-murid yang belajar di sekolah ini merupakan anak-anak penduduk dari sekitar Kulai. Sebelum ini kanak-kanak yang ingin bersekolah aliran Inggeris terpaksa belajar di Johor Bahru (32km dari Kulai). Pada awal penubuhannya, sekolah ini menampung di bangunan Keng Chew, Jalan Kulai-Kota Tinggi. Sekolah ini mempunyai 40 orang murid dengan seorang tenaga pengajar. Sekolah ini diasaskan oleh Cik Agnes L.Richards seorang mubaligh dari Gereja Presbyterian Malaysia (yang beralamat di No. 7, Jalan Sungai Buaya, Batu 3 ½ off Jalan Klang Lama, 51800, Kuala Lumpur). Pada tahun 1954, pihak Gereja Presbyterian telah dilantik sebagai Lembaga Pemegang Amanah untuk menubuhkan sebuah sekolah di atas sebidang tanah seluas 4 ekar 1 road dan 0.1 poll di Bukit Liki, Kulai. Pada tahun 1955, sebuah bangunan kekal 6 buah bilik darjah didirikan di Bukit Liki dengan modal RM10 000 sumbangan Kementerian Pelajaran. Selain pembelajaran sekolah rendah, sekolah ini juga menjalankan pembelajaran kelas-kelas persendirian. Pada tahun 1959, sebuah bangunan terdiri daripada 2 buah bilik darjah telah didirikan. Pada tahun 1961, sekolah ini telah mendapat status sekolah bantuan modal. Kelas-kelas persendirian ditamatkan dan Sekolah Menengah Inggeris Kulai ditubuhkan dengan pembukaan kelas peralihan. Situasi ini telah membawa kepada kemasukan beramai-ramai ke sekolah ini sehingga pihak sekolah terpaksa menumpangkan murid di sekolah lain. Tabung membina sekolah dilancarkan semula pada tahun 1962 untuk mengatasi masalah kekurangan bilik darjah ini. Pada tahun 1963, 2 blok bangunan mengandungi 6 bilik darjah telah didirikan dan kantin juga telah dibesarkan pada tahun berikutnya. Sekolah Menengah Inggeris yang menumpang di sekolah ini juga telah dipindahkan ke bangunan sendiri pada tahun 1965. Pentadbiran sekolah ini kemudiannya dipecahkan kepada dua pentadbiran iaitu Sekolah Inggeris Kulai 1 dan Sekolah Inggeris Kulai 2. Pada tahun 1970, dua orang guru besar telah ditempatkan di sekolah ini sebagai pentadbir, seorang bagi pihak Sekolah Inggeris Kulai 1 dan seorang lagi bagi pihak Sekolah Inggeris Kulai 2. Pada tahun 1973, sekali lagi sekolah ini ditukar nama kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Kulai 1 dan Sekolah Kebangsaan Kulai 2. Pada tahun 1980, sebuah surau telah dibina oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah. Pada tahun 1982, sebuah bilik sumber telah dibina oleh PIBG sekolah. Pad atahun 1983, dua bilik darjah telah didirikan dengan bantuan modal daripada kerajaan sebanyak RM14 000.00/ Pada tahun 1998, sekolah ini dengan rasminya bertukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Kulai 1/Sekolah Kebangsaan Kulai 2. Pada tahun ini juga dengan kerjasama PIBG Sekolah, bilik sumber telah diubahsuai menjadi bilik komputer. Pada tahun 2003, Sekolah Kebangsaan Kulai 2 telah bertukar ke premis baru di Taman Indahpura dan dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Indahpura 1. Pada Februari 009, sebuah blok bangunan di blok Kenanga yang merangkumi 5 buah kelas telah dirobohkan kerana bumbungnya telah runtuh. Kini Sekolah Kebangsaan Kulai 1 mempunyai 33 orang guru dan murid seramai 403 orang

Thursday 21 June 2012

Apa Itu Transformasi Kurikulum?

Kementerian Pelajaran telah memberi jaminan bahawa transformasi kurikulum bagi memantapkan sistem pendidikan negara adalah satu usaha yang berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Penambahbaikan yang dilakukan tidak lari daripada hasrat sistem pendidikan negara untuk menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis daripada sudut intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan. Transformasi berkenaan membabitkan perubahan dalam bentuk, kandungan penjadualan waktu dan penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan. Transformasi ini juga memberi penekanan yang lebih kepada pentaksiran berasaskan sekolah, meningkatkan penglibatan murid dalam kokurikulum dan kegiatan luar bilik darjah. Pada masa yang sama, melalui transformasi kurikulum ini juga penghayatan nilai seperti perpaduan, menyayangi alam sekitar dan semangat patriotisme dapat diperkukuhkan lagi. Dengan cara itu, sifat dan peribadi kental di kalangan murid melalui isi kandungan dan cadangan pedagogi yang lebih efektif dapat diperkukuhkan. Bagi mencapai hasrat berkenaan, transformasi itu dilaksanakan dengan mengambil kira enam tunjang utama iaitu komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusian, fizikal dan estetika, literasi sains dan teknologi dan keterampilan diri bagi melahirkan insan holistik. Transformasi pendidikan mempunyai matlamat untuk membentuk seseorang murid menjadi modal insan yang seimbang dari segenap segi. Justeru, transformasi kurikulum ini menyediakan ruang dan peluang bagi memenuhi keperluan murid untuk membangunkan modal insan yang berpengatahuan serta berfikiran kreatif, kritis dan berinovatif.

DASAR 1 MURID 1 SUKAN

Kementerian Pelajaran akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar 1Murid 1Sukan mulai 2011 sebagai usaha melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Hasrat kerajaan ialah menjadikan sukan sebagai alat utama perpaduan kerana telah terbukti bahawa sukan boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum yang menjadi harapan negara dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia. Menceburi bidang sukan memerlukan semangat setiakawan dan berpasukan di samping melahirkan lebih ramai atlet yang berkelibar dan mampu bertanding di peringkat antarabangsa. Usaha mencungkil bakat dan melatih atlet perlu dilaksanakan di peringkat awal dan kerana itu sekolah menjadi asas yang terbaik. Dasar 1Murid 1Sukan juga bertujuan melahirkan generasi yang lebih sihat dan cergas kerana budaya bersenam di kalangan masyarakat sudah menjadi sesuatu yang sukar dilaksanakan atas pelbagai alasan. Masyarakat Malaysia semakin ramai mengalami masalah kegemukan, dan tentunya obesiti itu boleh mengakibatkan seseorang mudah dijangkiti penyakit yang dikenalpasti sebagai pembunuh utama rakyat, iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit yang berkitan dengan kardiovaskular. Dengan menyemaikan budaya bersenam atau bersukan di peringkat sekolah, seseorang pelajar boleh memilih bentuk dan jenis sukan berdasarkan minat dan keupayaan masing-masing. Minat itu kemudiannya diharapkan dapat dikembangkan menjadi budaya, dan ini dapat membantu negara mengurangkan bilangan pengidap penyakit yang berkaitan dengan obesity. Menurut Menteri Pelajaran, sebuah jawatankuasa ad-hoc dipengerusikan beliau sudah mengadakan mesyuarat dan memutus akan melaksanakan enam strategi bagi menjayakan dasar itu. Ketika merasmikan majlis pembukaan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-52 di Stadium Larkin minggu lalu (18 Mei 2010), Tan Sri Muhyiddin berkata: "Antara enam strategi dipersetujui ialah memberi bantuan kewangan sukan kepada sekolah, mewajibkan pembabitan pelajar dalam aktiviti sukan, mengenal pasti program sukan sekolah untuk dilaksana sepanjang tahun, menubuhkan Bahagian Sukan secara berasingan, elemen sukan dimasukkan dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia dan mengenal pasti lima Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk melatih guru sukan…Melalui Dasar 1Murid 1Sukan ini, lengkaplah skop pembangunan sukan di sekolah kerana program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) yang khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang sudah dilaksanakan sejak Julai 2008." Perubahan ini adalah selaras dengan transformasi pendidikan, dan menurut Menteri Pelajar lagi, sudah sampai masanya kementerian mempunyai kerangka penilaian yang lebih komprehensif untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan setiap agenda pendidikan termasuk kegiatan sukan. “Jika setiap tahun kita mampu memberi penilaian terhadap prestasi akademik murid dalam pencapaian mereka, maka sewajarnya kita juga mampu memberi laporan prestasi dalam bidang lain termasuk sukan. Dengan ini, pandangan mengatakan kementerian terlalu menumpu bidang akademik saja dapat disangkal dan ditangani,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
likes; ?>